Riwayat hidup Tribhuwana_Wijayatunggadewi

Dyah Gitarja ialah puteri kepada Raden Wijaya, raja pertama kerajaan Majapahit, dan bonda beliau ialah Dyah Gayatri Rajapatni. Gitarja dilahirkan kepada wangsa Rajasa, pemerintah kerajaan Majapahit dan yang sebelumnya, Kerajaan Singhasari. Daripada belah bondanya, beliau ialah cucunda kepada Kertanegara dari Singhasari.

Beliau merupakan anak paling sulung daripada semua anak-anak Raden Wijaya, adinda beliau Rajadewi, kedua-dua saudari ini puteri kepada Permaisuri Rajapatni, manakala kakanda sebapa beliau bernama Jayanegara, putera kepada Permaisuri Indreswari. Menurut Nagarakretagama kanto 48 stanza 1, kakanda sebapa beliau, Jayanegara, mewarisi takhta berikutan kemangkatan ayahandanya pada tahun 1309, sementara beliau dan adinda masing-masing memperolehi gelaran Bhre Kahuripan (Tuanan Kahuripan) dan Bhre Daha (TuananDaha).

Menurut Pararaton, Raja Jayanegara ingin kedua-dua saudarinya dijadikan permaisurinya. Pernikahan antara adik-beradik tiri terlarang dan dibenci dalam adat Jawa, kemudiannya majlis orang tua-tua yang didalangi Bonda Ratu Gayatri menampik keras hajat baginda. Motif Jayanegara untuk bernikah dengan mereka tidak diketahui — ia mungkin atas sebab mahu mengekalkan kesahan takhta dengan menghalang sesiapa pun daripada melamar adinda berdua.

Apapun, Jayanegara kemudian menghalang perasmaraan adinda berdua dengan mengurung Gitarja dan Rajadewi dalam kaputren (balai larangan) mahligai, dibatas dalam perkarangan dalaman, tidak membenarkan mereka saling bertemu, dan melarang kemasukan ke istana dan hal ehwal awam. Pengurungan ini berlanjut sehinggalah baginda beradik matang dan terlepas usia yang sesuai untuk dikahwinkan dalam adat Jawa. Ini mengkhuatiri bonda mereka, Bonda Ratu Gayatri yang cuba sedaya upaya untuk membebaskan puteri-puterinya.